
VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau tidak sepatutnya menerima sebarang pelawaan debat dengan Datuk Seri Najib Razak kerana bekas Perdana Menteri itu sepatutnya telah lenyap dari arena politik negara, ketika ini.
Malah, Kit Siang juga mendakwa beliau tidak perlu melayan permintaan Najib itu kerana Ahli Parlimen Pekan tersebut terlibat pelbagai skandal termasuk beberapa pendakwaan di mahkamah.
“Saya tidak akan berdebat dengan Najib yang sepatutnya sudah menghilangkan dirinya dari arena politik Malaysia selepas mengubah Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi.
“Saya telah memilih untuk tidak terlibat dalam politik sebegini lagi tetapi apa yang lebih penting adalah, saya tidak akan berdebat dengan Najib Razak.
“Perkara yang terbaik yang dia (Najib) boleh lakukan sekiranya dia benar-benar sayangkan Malaysia adalah hilang terus dari arena politik Malaysia.
“(Ia) selepas (Najib) membawa malu dan mencemarkan nama negara sebagai sebuah kleptokrasi semasa pemerintahannya sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri mengumumkan persaraan daripada politik sekali gus tidak akan bertanding sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Bagaimanapun, tindakan Kit Siang yang sering memberi kenyataan politik termasuk menyerang Najib dan Umno disifatkan Najib sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’.
Justeru, Najib mempelawa Kit Siang untuk berdebat secara terbuka dengannya, namun Kit Siang menolak pelawaan itu yang menyebabkan Najib menggelarnya sebagai pengecut.
Kit Siang memberi alasan menolak pelawaan perdebatan itu kerana tidak mahu memberi ruang platform kepada Najib untuk meraih populariti daripada rakyat.
“Amat malang, saya terpaksa mengecewakan dia kerana saya hanyalah bersara dari politik kompetitif dan memilih untuk tidak bertanding untuk apa-apa jawatan di dalam atau di luar parti, termasuklah dalam mana-mana pilihan raya parlimen dan negeri.
“Tetapi tidak mungkin untuk saya bersara sepenuhnya dari politik kerana politik memberikan kesan kepada setiap aspek kehidupan harian seseorang itu.
“Dia (Najib) hanya akan membawa lebih banyak malu kepada nama negara dengan mengatakan yang dia bangga dengan kleptokrasi Malaysia di dunia,” katanya.
Kit Siang juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang menawarkan diri untuk menggantikannya berdebat dengan Najib.
“Saya ingin berterima kasih kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, kerana menawarkan dirinya untuk menggantikan saya untuk berdekat dengan bekas Perdana Menteri tersebut.
“Saya ingin berterima kasih kepada penduduk di Bukit Mertajam dan rakyat Malaysia untuk sokongan dan kerjasama anda semua dalam enam dekad yang untuk berjuang demi Impian Malaysia,” katanya. – Malaysiapost
