PM dicadang pangku jawatan Zuraida dalam Kabinet

0
1
https://www.facebook.com/StevenSimCK/photos/pb.100044157653397.-2207520000../5868454426558957/?type=3

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mengambil alih peranan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berbanding memilih orang baharu menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata parti dalam kerajaan kini berlumba-lumba merebut jawatan menteri yang kosong sejak Zuraida mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis lalu.

“Saya hendak cadangkan agar PM tidak melantik menteri baharu, sebaliknya jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu dipangku oleh perdana menteri sendiri tanpa gaji sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14,” katanya dalam kenyataan.

Steven Sim yang merupakan pemimpin kanan DAP, berkata pemilihan menteri baharu adalah tidak masuk akal kerana individu berkenaan memerlukan beberapa bulan untuk menyusun atur pasukannya, sedangkan penggal kerajaan hanya tinggal lebih kurang setahun.

Katanya, langkah itu juga akan mengurangkan bilangan Jemaah Menteri yang agak ‘besar’, dianggotai kira-kira 68 menteri, tidak termasuk duta dan penasihat kepada Perdana Menteri.

“Jemaah menteri gergasi ini dilihat amat membazir terutamanya apabila kerajaan gagal menangani pelbagai masalah rakyat sejak wabak Covid-19 sehingga sekarang, dengan yang terkini, (membabitkan) pengurusan subsidi ayam,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sudah bertukar tiga kali, dan ini memberi kesan buruk kepada industri dan kementerian itu sendiri.

“Dengan PM memangku kementerian, sudah tentu ia akan memberi kestabilan kepada kementerian kerana tidak perlu sekali lagi melaksanakan perubahan besar, sama ada dari segi dasar mahupun struktur organisasi,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri akan dapat memimpin kementerian itu dengan lebih baik dan memulihkan sektor perladangan Malaysia.

Ujar Steven Sim, langkah ini juga dapat menghentikan perebutan kuasa antara Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu.

“Umum diketahui kerajaan PN, dan kini BN, dibelenggu porak peranda yang berterusan akibat pergolakan kuasa dalaman. Dengan tidak melantik menteri baharu, PM juga tidak perlu menyakitkan hati mana-mana parti dalam kerajaan yang sedang berebut jawatan menteri,” katanya.

Menurutnya, ia dapat mendorong parti komponen kerajaan untuk lebih fokus kepada mentadbir negara dengan lebih baik.

Kata Steven Sim, langkah tidak menggantikan Zuraida dengan menteri baharu juga akan menjimatkan wang orang ramai, lebih-lebih lagi ketika harga barangan semakin meningkat.

Pada 26 Mei, Zuraida, yang juga Ahli Parlimen Ampang, mengumumkan meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan turut akan meninggalkan Jemaah Menteri. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Steven Sim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here