Pemilihan PKR: Lagi gesaan audit forensik keputusan

0
1
Parti Keadilan Rakyat

PENGERUSI PKR Terengganu, Azan Ismail menggesa parti itu membuat audit forensik terhadap keputusan pemilihan yang mendapat bantahan ramai calon. 

Beliau berkata, satu entiti bebas perlu dibenarkan untuk membuat audit forensik tersebut agar berlaku adil dalam siasatannya. 

“Semakin ramai calon yang tampil membangkitkan keraguan ini dan membuat bantahan. 

“Saya rasa ini adalah asas yang kukuh untuk menggesa parti menjalankan satu audit forensik terhadap pemilihan ini oleh entiti bebas, tanpa penglibatan pihak-pihak berkepentingan dalam pemilihan parti ini. 

“Ini bagi meyakinkan ahli-ahli dan masyarakat bahawa pemilihan parti ini tidak dikompromi oleh salahlaku dan manipulasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Azan yang juga bertanding jawatan Naib Presiden PKR menegaskan, parti itu harus bersikap adil kepada semua ahli-ahli, bukan sahaja mereka yang tercalon dalam pemilihan parti ini, malah untu semua ahli yang mengundi atas dasar kebertanggungjawaban terhadap parti.

“Pemilihan Parti PKR 2022 ini dilihat semakin banyak keputusan yang meragukan dibangkitkan oleh ramai calon-calon yang bertanding.

“Contohnya, ada cabang yang jumlah pengundi yang dikira, termasuk undi ragu, berkurang dari jumlah pengundi. Lebih meragukan, ada cabang di mana jumlah undi yang dikira pula melebihi jumlah pengundi yang berdaftar,” katanya. 

Mengulas lanjut, Azan berkata, banyak cabang PKR di mana data perkiraan undi calon-calon berdasarkan ahli mengundi yang direkodkan sebagai penyokong mereka, berlainan sekali dengan apa yang dipamerkan dalam keputusan tidak rasmi yang mula dikeluarkan JPP hari ini.

Malahan, katanya, pengundi jumlah fizikal yang direkodkan banyak bercanggah dengan apa yang dipamerkan dalam keputusan tidak rasmi. 

“Perkara-perkara sebegini menimbulkan keraguan yang amat tinggi terhadap sistem adil yang digunapakai dalam pemilihan parti kali ini dan lebih merisaukan calon-calon adalah persoalan samada sistem ini telah terkompromi atau dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

“Andaian ini semakin diperkuatkan oleh prosedur-prosedur pelik di mana pengumuman keputusan ditangguhkan lama selepas pengundian selesai bagi negeri-negeri dan tidak konsisten.

“Contohnya Cabang Hulu Selangor yang terpaksa melalui pengundian semula semalam, dapat pula diumumkan keputusannya bersama keseluruhan keputusan tidak rasmi bagi negeri Selangor, tidak sampaipun 24 jam selepas pengundian selesai bagi cabang itu,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, keputusan dari negeri-negeri seperti Kedah dan Johor yang paling awal selesai, belum pun diterima setakat waktu penulisan ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here