Amiruddin menang, ucap tahniah kepada Farhash pamer persaingan sihat

0
1

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang diisytihar menang pemilihan Ketua PKR Cabang Gombak hari ini, berjanji akan memikul tanggungjawab berkenaan sebaiknya. 

Amiruddin dalam kenyataan terbaharu berhubung kemenangan itu berkata, beliau juga tidak akan mempersiakan kepercayaan ahli PKR Cabang Gombak. 

“Alhamdulillah. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota KeadilanCabang Gombak. 

“Sesungguhnya amanah dan kepercayaan ini akan saya galas sebaiknya bagi meneruskan ikhtiar, kerja baik dan usaha kita di Gombak,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Pada masa sama, Amiruddin turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada lawannya iaitu Farhash Wafa Salvador kerana menunjukkan persaingan yang sihat dalam perebutan Ketua PKR Cabang Gombak, kali ini. 

“Saya turut merakamkan penghargaan buat Saudara Farhash Wafa Salvador di atas persaingan sihat merebut jawatan Ketua Cabang Gombak. 

“Ucapan terima kasih turut saya rakamkan buat para petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang telah berjaya memastikan pemilihan di Cabang Gombak berjalan dengan lancar,” katanya. 

Justeru, Amiruddin menegaskan, PKR Gombak terus memperkukuhkan kekuatan bagi menghadapi Pilihan Raya Ke-15 (PRU15). 

“Saya ingin mengajak seluruh anggota PKR Gombak untuk kita perkukuhkan muafakat, merangkul seluruh kekuatan dan bersiap sedia mempertahankan Gombak sebagai kubu kuat PKR menjelang Pilihanraya Umum ke 15 tidak lama lagi. Reformasi!” katanya. 

Terdahulu, Amirudin menepati ramalan apabila menang bagi jawatan Ketua Cabang Gombak mengatasi Farhash.

Beliau memperoleh 1,858 undi mengatasi Farhash yang memperoleh 1,215 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here