Teliti semula isu kesesakan aliran trafik di Lembah Klang – Zahid

0
1

KERAJAAN harus memberi keutamaan kepada isu kesesakan aliran trafik di ibu kota kerana Lembah Klang merupakan antara penjana utama kepada enjin ekonomi negara.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu berkaitan aliran trafik dan keberkesanan sistem pengangkutan awam terutamanya di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya mestilah diteliti semula.

“Isu mengenai aliran trafik yang sesak di ibu negara beberapa minggu kebelakangan ini semakin menjadi tumpuan rakyat Malaysia.

“Terutama sekali mereka yang tinggal dan bekerja di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahmad Zahid berkata, ‘human connectivity’ boleh dijadikan antara perkara yang perlu diberi keutamaan dalam usaha Kerajaan menjana ekonomi Malaysia pasca Covid-19.

Menurutnya, dengan pelaburan yang telah diambil kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti Laluan Transit Aliran Massa (MRT) dan sebagainya, fenomena kesesakan trafik melampau amat membimbangkan.

“Kuala Lumpur bukanlah bandar raya yang terlalu padat seperti bandar raya utama dunia lain. Cuma Kuala Lumpur memerlukan usaha ‘urban rejuvenation’ yang berterusan agar ia kekal menjadi tempat yang mampan bagi orang ramai bekerja dan bermastautin dalam dekad mendatang.

“Kementerian Wilayah Persekutuan perlu mendahului inisiatif-inisiatif strategik dan berperanan lebih aktif dalam merealisasikannya.

“Kementerian tersebut tidak patut dilihat sebagai tidak penting dalam perancangan ekonomi negara, apatah lagi dipimpin dengan paradigma lama yang tidak langsung menyelesaikan masalah golongan ibu kota,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata bagaimanapun isu kesesakan trafik luar biasa bukanlah satu-satunya isu yang perlu penyelesaian secepat mungkin.

Katanya, isu berkenaan masalah banjir, perumahan mampu milik dan kos sara hidup di ibu kota antara masalah yang perlu diselesaikan pihak kementerian secepat mungkin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here