Patuhi SOP elak penyakit berjangkit menular di kalangan kanak-kanak – Rina Harun

0
1

PENGUSAHA pusat jagaan kanak-kanak, taska, dan tadika diminta terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengedarkan garis panduan HFMD yang dikeluarkan KKM kepada pengusaha-pengusaha berkenaan di seluruh negara untuk dirujuk.

Rina berkata, beliau juga telah berinteraksi dengan pengusaha dan para guru untuk memastikan SOP yang ditetapkan terus dipatuhi bagi mengekang penyakit-penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak.

“Melihat trend penularan penyakit berjangkit yang melibatkan kanak-kanak seperti penyakit HFMD yang saban hari membimbangkan, saya telah ke Taska Penyayang Bakti untuk melihat pengoperasian dan pematuhan SOP.

“Saya memandang serius peningkatan jangkitan HFMD ini terutama di bawah taska-taska yang berdaftar di bawah Taman Asuhan Kanak-kanak 1984,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, garis panduan yang telah diedarkan kepada pusat-pusat asuhan dan taska perlu dipatuhi bukan sahaja untuk mengekang penyakit HMFD tetapi juga penularan penyakit berjangkit lain yang kian menular zaman ini, termasuklah penyakit cacar monyet.

“Saya menyeru para ibu bapa agar mengambil berat perkara ini dan melakukan langkah pencegahan sebaik mungkin, serta memastikan anak-anak bergejala awal seperti demam dan ulser, ruam di tangan dan kaki di bawa ke klinik atau hospital untuk rawatan segera.

“Saya juga inginkan pengusaha taska menjalankan aktiviti sanitasi secara lebih kerap dan konsisten agar kebersihan di taska terjamin,” katanya.

Beliau berkata, Kementeriannya akan terus memantau isu berkenaan dan diharapkan semua taska dapat mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKM bagi menjamin keselamatan dan kesihatan anak-anak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here