Lebihan bekalan ayam di Sarawak boleh disalurkan ke Semenanjung

0
1

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tiada masalah jika lebihan bekalan ayam di Sarawak dieksport dan disalurkan ke Semenanjung untuk menampung kekurangan bekalan di Semenanjung.

Ketua Setiausaha (KSU) KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof, berkata langkah itu boleh dilaksanakan atas semangat Keluarga Malaysia dan kerajaan kolaboratif.

Beliau bagaimanapun menegaskan pengurusan bekalan adalah di bawah jurisdiksi  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan bukannya KPDNHEP.

“Kenapa tidak…atas semangat Keluarga Malaysia dan Kerajaan Kolaboratif,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan lebihan bekalan ayam di Sarawak dieksport dan disalurkan ke Semenanjung.

Terdahulu beliau bersama Timbalannya Azman Adam dan penguatkuasa KPDNHEP Sarawak mengadakan pemeriksaan mengejut di Medan Pasar Satok, Kuching, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan adalah bagi meninjau kedudukan bekalan barang keperluan terutama ayam dan telur di Sarawak.

“Peniaga ketika ditemui mengatakan tiada masalah tentang bekalan ayam dari pengeluar di Sarawak.

“Begitu juga pengguna tidak menghadapi masalah dalam membeli ayam pelbagai jenis termasuk bahagian-bahagian serta ayam tua,” katanya.

Selain itu, beliau turut memohon semua pengguna melaporkan sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah, aktiviti sekatan bekalan/sorok atau menyedari aktiviti-aktiviti lain yang melanggar peraturan.

“Laporan boleh dibuat kepada KPDNHEP menggunakan saluran aduan yang disediakan seperti WhatsApp, email dan mobileapps.

“Pengguna juga disaran memuat turun aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh kementerian bagi membantu pengguna membuat carian harga barangan berpatutan berdasarkan lokaliti masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here