Lompat parti hak Zuraida – Abdul Hadi

0
1

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpendapat adalah hak Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin memilih untuk melompat parti kerana perkara itu selari dengan sistem politik negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan.

Beliau berkata, perkara itu bukan satu kesalahan kerana ia tidak termaktub dalam mana-mana perlembagaan undang-undang.

Menurutnya, tambahan pula pada ketika ini Undang-undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, masih belum diluluskan.

“Terpulang kepada dia kerana Malaysia ini negara demokrasi yang secara prinsipnya seseorang itu boleh nak pergi mana-mana parti atau kalau nak tubuh parti baharu pun dibolehkan.

“Ini soal kebebasan, lagipun undang-undang lompat parti belum diluluskan,” memetik Sinar Harian.

Beliau mengulas tindakan Zuraida yang mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia turut menjelaskan akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai kedudukannya sebagai menteri.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sama ada kedudukan Zuraida dalam kabinet perlu dikekalkan atau diganti adalah bergantung kepada perbincangan antara parti dalam kerajaan.

Katanya, perkara itu kerana secara dasarnya, lantikan sebagai anggota kabinet adalah lebih kepada mewakili sesuatu parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

“Jadi kita tunggu nanti kerana saya percaya, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum lagi tentu adakah dia mahu masuk parti yang bergabung atau tidak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here