PERHIMPUNAN Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) di Geneva, Switzerland hari ini sebulat suara menerima keputusan mengenai keadaan kesihatan di Wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis timur dan di Golan, Syria yang diduduki.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan yang dicapai dalam resolusi berkenaan antara lain akan menyokong sektor kesihatan di Wilayah Palestin yang diduduki.
Beliau yang juga Naib Presiden WHA75, berkata ia termasuklah bagi program pembinaan kapasiti, menaiktaraf infrastruktur asas perubatan, sumber manusia serta memastikan perkhidmatan kesihatan, alatan perubatan dan ubat-ubatan adalah mudah, murah dan berkualiti.

“Selain itu, resolusi yang dicapai juga menggesa perlindungan ke atas populasi yang tercedera dan sedang menerima rawatan, semua pekerja kesihatan dan sukarelawan kemanusiaan termasuklah fasiliti, peralatan dan kelengkapan perubatan yang digunakan,” katanya dalam ciapan di laman Twitternya, hari ini
Beliau turut berkongsikan resolusi lain yang dicapai dalam WHA yang dipengerusikannya itu, yang antaranya adalah memastikan tiada diskriminasi perolehan vaksin Covid-19 dengan harga yang mampu dimiliki untuk penduduk wilayah berkenaan.
Khairy kini mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-151 (EB151), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 22 hingga 30 Mei ini.
Turut menyertainya adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
WHA adalah badan pentadbir tertinggi WHO dan menjadi perhimpunan berkala yang dihadiri Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar dalam bidang kesihatan.
Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan status pelaksanaan dasar, program, hala tuju, komitmen dan strategi baharu sektor kesihatan yang dipersetujui secara konsensus di bawah WHO. – Malaysiapost

