SEORANG wanita parah dan dua lagi cedera selepas kereta dinaiki dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian berhampiran Menara Worldwide di Jalan Bukit Bintang, lewat petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu mengakibatkan dua kereta dihempap pokok tumbang berkenaan.
Insiden berkenaan dimaklumkan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melalui satu hantaran di laman Facebook rasminya Polis KL.

Menurut hantaran itu, satu laporan kejadian pokok tumbang diterima membabitkan sebuah kereta dihempap.
“Pihak polis sampai dilokasi dalam tempoh masa lima minit selepas maklumat diterima untuk memberi bantuan.
“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut sampai di lokasi untuk bantuan,” menurut hantaran itu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua kereta jenis Volkswagen Polo dan Perodua Myvi mengalami kerosakan akibat dihempap oleh sebatang pokok.
“Terdapat dua mangsa wanita mengalami kecederaan ringan dan seorang lagi mengalami kecederaan parah.
“Ambulans dari Hospital Kuala Lumpur telah sampai dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan serta di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – Malaysiapost

