REMAJA lelaki berusia 14 tahun yang menikam ibunya dalam kejadian di Bukit Yong, Pasir Puteh pada Selasa, diikat jamin petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pelajar Tingkatan Dua itu sudah dibawa pulang ahli keluarganya
“Kita hanya tahan reman pelajar itu sehari pada petang Rabu hingga petang semalam.
“Ketika dibenarkan pulang, pelajar itu masih kelihatan dalam keadaan trauma,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Bagaimanapun, Zaizul berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan menunggu untuk mendapatkan laporan kejadian daripada mangsa iaitu ibu pelajar berkenaan.
“Mangsa kini stabil namun kita bagi ruang dahulu untuk mangsa pulih sebelum menyambung siasatan,” katanya.
Pada 24 Mei lalu, pelajar lelaki berusia 14 tahun bertindak menikam ibunya di dada kiri pada 11.45 malam.
Difahamkan suspek mengalami halusinasi akibat demam sejak dua hari selepas mengikut aktiviti merentas desa yang dianjurkan sekolahnya.
Ibu mangsa yang berusia 41 tahun kini mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia. – Malaysiapost

