Pelantikan TPM, menteri Kabinet bukan hak Bersatu – Isham

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin diingatkan bahawa jawatan menteri yang bakal dikosongkan Datuk Zuraida Kamaruddin bukan hak dan kuota Bersatu.

Sebaliknya Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, kuasa untuk melantik Menteri Kabinet termasuk Timbalan Menteri adalah keputusan Perdana Menteri.

“Saya terima berita semalam ada ura-ura untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu dan melantik seorang lagi ahli Parlimen atau senator Bersatu untuk jadi menteri menggantikan Zuraida.

“Presiden Bersatu Muhyiddin pula kata jawatan menteri yang dikosongkan Zuraida adalah hak dan kuota mereka untuk diisi.

“Justeru, saya ingin ingatkan Muhyiddin kuasa untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet adalah di tangan Perdana Menteri, bukan Presiden Bersatu,” katanya menerusi Facebook.

Tegas Isham, bagi pemilihan berkaitan jawatan tersebut, Muhyiddin tidak boleh mendahului Perdana Menteri.

Katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu perlu menyerahkan keputusan itu kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan.

“Beliau juga perlu terima budi bicara dan keputusan Perdana Menteri walaupun keputusan itu tidak memihak kepadanya.

“Maka berdasarkan undang-undang, jawatan menteri bukanlah hak sesuatu parti untuk menentukan, tetapi ia adalah hak Perdana Menteri,” katanya.

Tambahnya, mengikut Perlembagaan tidak ada kuota parti untuk pelantikan menteri kabinet.

“Jadi, Muhyiddin perlu ikut undang-undang bukan buat undang-undang sendiri.

“Manakala, berdasarkan pertimbangan politik pula, tidak masuk akal untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan menteri dari Bersatu pada masa ini.

“Mereka (Bersatu) telah kalah teruk dalam pilihan raya kebelakangan ini termasuk di Melaka dan di Johor, ini menunjukkan secara terang dan nyata bahawa rakyat telah menolak mereka dan jawatan kerajaan yang dipegang oleh mereka kini tidak mendapat mandat dari rakyat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, apabila Bersatu melompat parti, mereka telah hilang legitimasi atau keabsahan demokratik.

“Menteri-menteri Bersatu dalam Kabinet kini adalah sama ada tidak kompeten atau pelompat parti.

“Jika ada lagi di kalangan mereka ini dilantik dalam kabinet untuk jadi Timbalan Perdana Menteri atau menteri pula, ia akan melemahkan lagi kerajaan dan menambah persepsi negatif rakyat kepada kerajaan dan bukannya sebaliknya.

“Di kala keadaan ekonomi yang perlu dipulihkan segera dan harga barang yang semakin meningkat, menteri-menteri Bersatu yang tidak kompeten dan pelompat parti yang tidak mendapat mandat ini sepatutnya perlu ditukar bukan dikitar semula dalam kerajaan.

“Negara tidak perlukan menteri-menteri yang tidak kompeten dan pelompat parti yang gila kuasa dan pentingkan diri sendiri. Kita perlukan menteri-menteri yang cekap, berintegriti dan berprinsip lebih-lebih lagi di masa yang kritikal ini,” katanya.

Sehubungan itu, Isham berpandangan bahawa tidak perlu melantik Timbalan Perdana Menteri atau menteri baru.

Sebaliknya, katanya, bubarkan sahaja Parlimen dan kembalikan mandat kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here