Tubuh Lembaga Pembangunan Unggas Negara bagi tangani isu ayam – Asyraf Wajdi

0
1

PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia mencadangkan penubuhan Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) bagi menyelia dan mengawal industri unggas di dalam negara.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penubuhan LPUN itu perlu disegerakan bagi memastikan segala usaha mengawal kestabilan stok, kualiti dan harga ayam bagi penggunaan rakyat Malaysia dapat diselaraskan sebaiknya.

Menurutnya, pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan memainkan peranan berbeza namun jika LPUN ditubuhkan ia dapat memastikan ekosistem industri unggas dapat berfungsi dengan lebih jelas, berstruktur dan berkesan.

Beliau berkata, ia juga dapat melihat secara terperinci permasalahan makro atau mana-mana ‘loopholes’ yang timbul untuk diselesaikan secara bersama.

“Sebagai contoh jika kita melihat pengeluaran ayam, tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah untuk melihat harga ayam dan menetapkan harga siling supaya harga ayam tidak mudah dimanipulasi.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pula melihat kepada bekalan dan kualiti ayam yang dikeluarkan. Kementerian Alam Sekitar dan Air bertanggungjawab terhadap pengurusan najis ayam.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi pula melihat dari aspek pemakanan ayam seperti jagung yang juga memberi impak besar kepada pengeluaran dan harga ayam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula penting dalam memperincikan tentang isu halal yang boleh dikoordinasi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Justeru, penubuhan LPUN ini adalah amat penting dan perlu disegerakan bagi memastikan langkah yang diambil Kerajaan diselaras dan mampu menangani isu pengeluaran dan harga ayam yang semakin kronik di dalam negara.

“Pemuda Umno berharap Lembaga ini dapat melihat peluang-peluang baharu dalam industri unggas amnya dan ayam khususnya bagi memperkasa serta menambahbaik sistem penternakan,” katanya.

Menurutnya, langkah itu diharap bukan sahaja akan memperbaiki struktur rantaian industri unggas mala dapat mengawal sesetengah pihak dalam pengeluaran serta harga ayam yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here