Jawatan Zuraida sebagai MPT Bersatu sudah terbatal dua minggu lalu – Hamzah Zainudin

0
1

AHLI Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sudah digugurkan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sejak dua minggu lalu, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah bersetuju melantik individu lain untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Beliau berkata, ia berikutan tindakan Zuraida yang sudah beberapa kali tidak hadir ke mesyuarat MPT Bersatu.

“Presiden telah bersetuju pada dua minggu lepas untuk menggantikan beliau dengan orang lain. Jawatan dia sebagai Ahli MPT yang dilantik presiden dengan serta-merta terbatal.

“Kerana presiden ingin melantik orang lain ke jawatan tersebut selepas saya menulis surat tunjuk sebab kepada beliau (Zuraida), cuma saya belum maklum kepada beliau kerana hendak menunggu jawapan (surat tunjuk sebab),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Hamzah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri 2022 anjuran Jabatan Imigresen Malaysia di Lobi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hari ini.

Terdahulu hari ini, Zuraida dilaporkan keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan kekal memberi sokongan kepada pucuk pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan pendirian PBM.

Zuraida juga dilaporkan akan berjumpa dengan Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, jawatan Zuraida dalam kabinet akan digantikan oleh wakil dari Bersatu yang akan dipilih oleh presiden dengan persetujuan Perdana Menteri.

“Dia sebenarnya tidak begitu aktif di dalam parti. Bagi saya dengan tindakannya itu, dia sudah menunjukkan dirinya yang sebenar di mana dia hanya menggunakan parti untuk kepentingan sendiri.

“Kita telah hantar surat jemputan secara peribadi kepada setiap ahli tetapi beliau tidak hadir ke Mesyuarat MPT lebih daripada enam kali, mesyuarat agung pun dia tidak hadir.

“Kita beri peluang kepada semua orang termasuk Zuraida. Sama ada mereka ingin menggunakan platform parti untuk membantu rakyat atau apa sahaja, tindakan mereka perlu selari dengan agenda parti dan mengikuti pergerakan parti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here