KKM sedia pelan strategik hadapi ancaman cacar monyet – KJ

0
1
PUTRAJAYA, 9 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan jangkitan cacar monyet (monkeypox) ke Malaysia berpandukan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata pelan itu disediakan susulan amaran dikeluarkan WHO mengenai wabak berkenaan yang kini dikesan di negara bukan endemik.

Beliau berkata pelan strategik itu merangkumi aktiviti kesiapsiagaan antaranya adalah mengedarkan garis panduan bagi pengurusan kes cacar monyet pada 23 Mei lalu kepada semua fasiliti kesihatan.

“Institute Penyelidikan Perubatan (MRI) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) juga bersedia menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet dalam kalangan manusia.

“KKM membantu Institute Penyelidikan Veterinary (VRI) membangunkan kemampuan untuk menjalankan ujian pengesanan ‘orthopoxviruses’ bagi tujuan survelan dalam kalangan haiwan,” katanya dalam sidang media secara atas talian hari ini.

Beliau berkata, kompetensi petugas kesihatan untuk mendiagnos dan menguruskan kes cacar monyet juga dipertingkatkan melalui sesi taklimat membabitkan pengamal perubatan kerajaan dan swasta serta anggota Kesihatan di Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Pintu Masuk Antarabangsa dan Makmal Kesihatan Awam.

“Hospital-hospital juga dalam keadaan siap sedia menerima kes yang disyaki cacar monyet untuk isolasi dalam tempoh kebolehjangkitan dan rawatan sekiranya perlu.

“Amaran mengenai cacar monyet juga akan dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai esok bagi pengembara yang tiba dari negara endemik atau negara yang melaporkan kes cacar monyet,” katanya

Khairy turut mengesahkan satu kes membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang didakwa mengalami jangkitan cacar monyet dan ditularkan di media sosial, yang hasil siasatan mendapati bukan kes cacar monyet.

“Kes ini disahkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan jangkitan oleh virus ‘Coxsackie A6’.

“Buat masa ini belum ada kes yang disahkan cacar monyet di Malaysia dan orang ramai dinasihat mendapatkan maklumat hanya dari sumber sahih dan mengikuti nasihat kesihatan awam yang diberikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here