Tolak parti politik assobiyah – Steven Sim

0
1

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyifatkan perkauman atau assobiyah yang diamalkan individu atau mana-mana parti umpama ‘singa buas’.

Justeru, beliau berkata, sekiranya ada pihak khususnya parti politik yang mempunyai sikap itu, masyarakat wajib menolak mereka kerana akan memudaratkan keamanan negara.

“Semalam dalam forum, saya sebut perkauman ataupun assobiyah ini umpama singa buas. Jangan kita beri makan singa ini, tak kira siapa, tak kira parti mana. Masyarakat Malaysia yang rencam wajib membulurkan singa assobiyah ini. Jangan kasi makan.

“Mungkin ada sesetengah pihak ingat dia boleh bela singa buas untuk jaga kepentingan diri dan politiknya, tapi singa ini akan mengamuk di luar kawal dan memusnahkan semua orang termasuk tuannya.

“Contohnya ada ahli politik fitnah kononnya di bawah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Tabung Haji ada pelbagai isu, ekuiti dijual, campur tangan Lim Guan Eng dan sebagainya. Hari ini depa tarik balik kenyataan fitnah selepas dibawa ke mahkamah.

“Tapi sudah terlambat, masyarakat dah terbakar dengan sentimen assobiyah,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, Steven Sim berkata, beliau menyukai penulisan dan pendekatan ilmiah, Rektor Hadis Kolej Universiti Islam Perlis, Prof Madya Dr Rozaime Ramle berkaitan politik, yang lebih ke arah mengangkat martabat manusia.

“Semalam forum di Perlis sempat berselfie dengan Dr Ustaz Rozaimi Ramle – Hadith Rector Hadith Kolej Universiti Islam Perlis.

“Saya sudah lama mengikuti penulisan Ustaz dan suka pendekatan ilmiah Dr Rora memberi pencerahan, waima kepada pengkritik keras.

“Kita perlukan politik budiman. Politik yang mengangkat martabat manusia – saya suka Dr Rora gunakan istilah karamah insaniah, yakni kemuliaan insan.

“Jadi, sama-sama kita berusaha. Don’t feed the lion… Jalan teruih,” katanya.

Assobiyah dalam Islam mempunyai konotasi buruk kerana mengandungi unsur ekstremis atau sikap patriotik keterlaluan terhadap suku atau golongan yang merupakan salah satu ciri kehidupan jahiliyah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here