PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti disegerakan susulan tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), hari ini.
Beliau berkata, sekiranya pindaan undang-undang itu tidak disegerakan, ia bakal mengundang krisis kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik negara.
Katanya, keadaan itu juga akan menyebabkan kadar peratusan mengundi akan semakin rendah pada pilihan raya umum akan datang.
“Apabila Zuraida yang pernah keluar dari PKR kemudian menyertai Bersatu dan kini keluar pula untuk menyertai PBM ia memberikan seolah-olah sangat mudah kepada wakil rakyat di negara ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.
“Tindakan lompat demi lompat sudah pasti mengecewakan rakyat dan menunjukkan tiada kawalan terhadap wakil rakyat dan bebas buat apa-apa sahaja,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat perkara itu dengan serius dan tidak lagi berkompromi kepada mana-mana melompat dan kekal sebagai menteri Kabinet.
“Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat.
“Ramai lagi Ahli Parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan Menteri yang dipegang oleh Zuraida,” katanya.
Terdahulu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan. – Malaysiapost

