‘Henti cipta keretakan dalam Umno Selangor, fokus hadapi PRU15’ – Armand Azha

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=616774456387858&set=pb.100063722049078.-2207520000

KETUA Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa ada pihak ketika ini yang cuba mencipta keretakan dalam Umno Selangor dengan mensasarkan Tan Sri Noh Omar berhubung isu kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, pihak yang disifatkan sebagai ‘tangan ajaib’ dan ‘suara nakal’ itu bertindak demikian untuk memecahbelahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Berhubung isu MN di Selangor, kita sehingga hari ini secara konsisten mengatakan masih ada lagi kerjasama dengan PAS kerana hubungan baik kepimpinan negeri antara kedua-dua parti masih diteruskan.

“Tidak pernah lagi kita menyanggah keputusan di peringkat Pusat. Malah, Noh juga telah mengambil pandangan daripada seluruh kepimpinan Umno bahagian tentang hala tuju ke arah PRU15,” katanya menerusi video Tiktok.

Beliau berkata, tidak timbul isu Umno Selangor bercanggah pendapat dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan menyifatkan ia sebagai sentimen yang dicipta orang luar.

“Bagi saya, Umno dan BN Selangor konsisten dengan apa sahaja pendapat, pandangan dan keputusan yang dibuat pihak tertinggi parti,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan landskap politik yang begitu unik dan dinamik ketika seharusnya kepimpinan Umno Selangor dan BN mengambil pandangan semua sudut.

“Jadi saya harap, kepada barisan kepimpinan dan juga penyokong parti supaya bertenang, jangan campur cerita-cerita luar yang cuba mencipta keretakan parti kita.

“Kita seharusnya secara konsisten meletakkan keutamaan Selangor jauh di hadapan terutama merangka strategi untuk merampas kembali kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya yakin Noh dan barisan kepimpinan BN Selangor, sentiasa memikirkan perkara terbaik untuk rampas Selangor,

“Justeru, kita perlu rapatkan saf, kukuh parti kerana Selangor kubu kuat PH, dan beri keyakinan kepada Noh untuk merancang strategi sesuai untuk PRU15,” katanya.

Armand Azha berkata, selaku Ketua Umno Bahagian Subang beliau menyatakan pendirian untuk menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Terdahulu, media yang memetik sumber dalaman Umno, mendakwa tingkah laku Noh di Selangor akhir-akhir ini kurang disenangi malah menyebabkan sesetengah pemimpin tertinggi parti itu berkecil hati.

Ini selepas Noh membuat kenyataan mengenai kedudukan kerjasama Umno Selangor dengan PAS negeri itu melalui Muafakat Nasional menjelang PRU15 tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here