PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew berasa sebak dengan kisah penderitaan adik Muhammad Bilal Yusra Mohammad Azhar yang menderita penyakit Holoprosencephaly iaitu kecacatan tempurung kepala dan sumbing sejak lahir.
Beliau bagaimanapun berasa bertuah dapat berjumpa keluarga kanak-kanak terbabit di Kulim, Kedah hari ini yang disifatkannya sangat tabah diuji dengan cabaran hidup sebagai tanda sangat disayangi Allah SWT.

“Sebak rasa ramai tag saya di Tik Tok berita adik Bilal ni. Terus ke Kulim Kedah. Mak dan ayahnya berhenti kerja menjaga anak ini dah setahun lebih.
“Kakaknya juga langsung tidak boleh mendengar. Betapa berat ujian kedua mak ayah ini. Pasti Allah sayang padanya. Semoga kedua mak ayah ini tabah dan kuat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ebit berkata, menurut bapa kanak-kanak terbabit terdapat dua jenis sakit seperti demikian, satu boleh di buat pembedahan, namun yang dideritai anaknya tidak boleh dibedah.
“Dua jam sekali menyusu melalui straw terus ke perutnya. Dengar Bilal merengek masa minum susu macam bayi lain. Bila susu terlambat atau tak sabar nak menyusu. Saiz badan sama baby lain.
“Allahuakbar. Jika ada apa-apa rawatan pakar boleh dibuat teringin nak bantu adik ni,” katanya yang turut menyampaikan sedikit sumbangan keluarga terbabit. – Malaysiapost

