PBM bincang permohonan Zuraida

0
1

PERMOHONAN Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan melalui proses sewajarnya, kata Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad.

Menurutnya, permohonan itu akan melalui perbincangan bersama Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan keputusan permohonan itu akan dimaklumkan selepas itu.

“Pada hari ini, pejabat Setiausaha Agung PBM telah menerima borang permohonan menyertai PBM daripada Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Bagi pihak PBM, kami amat berbangga dan teruja dengan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Zuraida adalah seorang Ahli Parlimen yang berdedikasi, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang sebagai pemimpin yang dekat kepada rakyat akar umbi.

“Perkara ini mengukuhkan lagi keyakinan kami bahwa enam teras Perjuangan dibawa PBM yang berbilang kaum ini terus mendapat sambutan dari pelbagai peringkat rakyat di Malaysia dan menambah semangat kami dalam membina momentum untuk terus bekerja keras demi Bangsa Malaysia,” katanya.

Dengan kemasukan Zuraida ke PBM, parti itu kini mempunyai  tiga wakil rakyat di Parlimen iaitu Ampang, Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here