Negara Asia perlu bersatu untuk pulih dari kesan Covid-19 – Ismail Sabri

0
2

KESAN akibat perang, monopoli kuasa besar dunia, perubahan iklim dan masalah bekalan vaksin antara isu yang dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Persidangan Nikkei ke-27 di Jepun hari ini.

Beliau menegaskan bahawa perang perlu dihentikan kerana bukan sahaja memberi kesan kepada negara yang terbabit, tetapi juga negara dan ekonomi serantau.

“Jelas, perang perlu dihentikan! Ianya memberi mudarat besar kepada bekalan rantaian makanan hatta kepada ekonomi serantau sekali pun.

“Cabaran kini amat besar dan berbeza setelah kita melalui pandemik Covid-19 dan ianya memerlukan penyatuan, serta kerjasama semua pihak untuk kesejahteraan serantau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut menzahirkan keyakinan dengan penyatuan dan semangat kekeluargaan antara negara-negara Asia yang dilihat mampu membangkitkan kembali kekuatan dan kegemilangan Asia untuk masa hadapan.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran Ismail Sabri turut berkongsi pertemuannya dengan rakan sejawat dari Thailand, Prayut Chan-o-cha yang juga salah seorang penyampai ucaptama di Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo.

“Hubungan antara Malaysia dan Thailand sangat akrab. Perdagangan sempadan kedua-dua negara menyumbang AS$10.5 bilion.

“Kita saling perlu memerlukan dan semoga lebih banyak peluang kerjasama dapat diterokai untuk manfaat kedua-dua negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here