KEMENTERIAN Pengangkutan tidak akan teragak-agak menggantung atau membatalkan lesen syarikat e-hailing yang melanggar had kadar surcaj 200 peratus yang dikuatkuasakan kerajaan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan memberi amaran berikutan laporan peningkatan mendadak kadar tambang dikenakan sebuah syarikat e-hailing, baru-baru ini.
“Jangan paksa saya selia (industri e-hailing). Saya tidak mahu sampai ke tahap campur tangan dalam ekonomi gig,” katanya dalam sidang media, dipetik FMT, hari ini.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pihaknya sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) menyiasat sama syarikat e-hailing yang melanggar kadar surcaj ditetapkan.
Menurutnya, walaupun kadar tambang asas bagi e-hailing tidak dikawal selia kerajaan, namun surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada jumlah tambang asas itu.
Semalam, Ka Siong menjelaskan faktor utama peningkatan harga disebabkan ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran, termasuk kesesakan jalan raya.
Selain itu, Ka Siong menjelaskan, beberapa syarikat berkaitan menyaksikan penurunan sebanyak 30 peratus pemandu berdaftar dibanding ketika sebelum pandemik, namun dijangka lebih ramai akan mula berdaftar sebagai pemandu pada masa terdekat.
Sementara itu, Grab Malaysia dalam kenyataan semalam berkata, caj tambang perkhidmatannya dilihat berubah tidak menentu, baru-baru ini, berpunca daripada kekurangan pemandu yang bekerja ketika itu untuk memenuhi permintaan tinggi.
Katanya, pada pertengahan Mei lalu, jumlah pemandu di platform mereka masih dalam keadaan kurang 70 peratus daripada keadaan sebelum pandemik. – Malaysiapost

