PERSATUAN Veteran ATM (PVATM) tampil menjelaskan kekeliruan berhubung gambar dan video tular menunjukkan seolah-olah veteran ATM mendapat layanan tidak sepatutnya dalam satu majlis perjumpaan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, selaku penganjur PVATM menjelaskan bahawa ia bukan majlis perjumpaan yang dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan bersama Veteran ATM.
“Ia acara Perbarisan Statik dianjurkan sendiri oleh PVATM sempena meraikan usia 100 Tahun PVATM.
“Bagi memeriahkan lagi acara, PVATM menjemput tetamu kehormat termasuk Menteri Kanan Pertahanan serta wakil Persatuan Veteran dari 10 Negara ASEAN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sharuddin menjelaskan, beberapa gambar yang menunjukkan veteran ATM berdiri di tengah panas adalah situasi biasa bagi Perbarisan Statik.
“Bagi ahli-ahli PVATM, berpeluang menjadi sebahagian peserta perbarisan statik adalah satu kebanggaan dan penghormatan besar.
“Setiap negeri memohon menghantar peserta lebih dari 40 orang namun tidak dapat dipenuhi kerana kekangan tertentu.
“Malah, dalam majlis itu juga diadakan beberapa lagi acara bagi memperingati jasa veteran ATM termasuk tiupan Rouse yang cukup sinonim dengan perjuangan pasukan keselamatan negara,” katanya.
Menurutnya, selepas perbarisan tersebut, diadakan pula majlis tahlil sesama ahli PVATM di masjid berhampiran dan kemudian disusuli jamuan makan yang disediakan PVATM sebagai penganjur.
“Gambar yang tular menunjukkan peserta makan di bawah pokok adalah peserta perbarisan dari PVATM Negeri Kedah yang sedang berehat sekitar Masjid Tuanku Mizan di mana mereka menunggu waktu solat Zohor sebelum majlis Tahlil dan Doa Selamat diadakan selepas Solat Zohor.
“Sebenarnya sajian makan tengah hari Nasi Arab bagi peserta dan penonton disediakan di Dewan Masjid Tuanku Mizan Putrajaya.
“Jamuan makanan bagi VVIP diadakan dalam Dewan Bankuet demi menghormati kehadiran tetamu jemputan dari Veteran Negara ASEAN seramai 27 orang.
“YB Menteri Kanan Pertahanan sendiri menyuarakan hasrat kepada Presiden PVATM untuk makan bersama dengan peserta perbarisan pada awalnya tetapi keadaan tidak mengizinkan berdasarkan kepada aturcara sambutan yang padat,” jelasnya. – Malaysiapost

