Sepatutnya bekalan ayam masih cukup – Zuraida 

0
1

MALAYSIA tidak sepatutnya mengalami krisis bekalan ayam ketika ini, dakwa Datuk Zuraida Kamaruddin.  

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, bekalan ayam di Malaysia masih lagi berlebihan daripada permintaan dan isu kekurangan ayam tidak sepatutnya berlaku.  

“Saya terkejut kerana taklimat Kabinet semalam, Malaysia sebenarnya tiada isu kekurangan ayam, bekalan kita ‘more than demand.  

“Kalau tiap-tiap bulan rakyat memerlukan  54 juta metrik tan ayam, kita mampu keluarkan 60 juta.  

“Bekalan itu cukup untuk negara sebenarnya, tetapi mungkin dalam pasaran ada yang manipulasi, menunjukkan kita tidak cukup ayam, naik harga, itu semua mengecewakan,” katanya kepada media di majlis rumah terbuka Parlimen Ampang hari ini.  

Mengulas lanjut,  Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau percaya terdapat pihak tertentu sengaja mengambil kesempatan menyorokkan bekalan barang makanan termasuk ayam ketika ini.  

“Seolah ada sindiket sengaja burukkan kerajaan, ambil kesempatan, menakutkan rakyat… sebenarnya perkara ini tidak benar.  

“Saya ada menerima aduan tindakan menyorok bekalan minyak masak bersubsidi pek polibeg sekilogram (kg) dan ayam, ada pihak sedang ambil kesempatan,” katanya. . 

Sementara itu, Zuraida menjelaskan, kerajaan terpaksa mengambil tindakan jangka pendek menghentikan sementara eksport ayam kepada Singapura.  

“Kita hentikan sebulan ini untuk pastikan cukup bekalan ayam.  

“Pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini antara lima pendekatan segera jangka pendek diumum kerajaan, dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan ayam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here