MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) memeterai perjanjian penerbangan carter haji selama tiga tahun bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan operasi penerbangan cater haji bagi jemaah Malaysia.
Perkhidmataan penerbangan cater itu akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, AMAL by Malaysia Airlines (AMAL).
Majlis menandatangani perjanjian itu ditandatangani Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman; manakala AMAL diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor di Akademi MAB, Kelana Jaya hari ini.
Ia disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail.
Amrin berkata, rekod cemerlang AMAL yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan penerbangan sewa khas haji menjadi pendorong utama pemilihan MAB sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji bagi tiga tahun akan datang bermula tahun ini sehingga tahun 2024.
“Kami yakin komitmen, pengalaman, kepakaran dan kerjasama di semua peringkat mampu memberikan perkhidmatan dan layanan cemerlang kepada bakal haji.
“Mutu perkhidmatan diberikan AMAL sebelum ini telah menerima pujian daripada jemaah haji.
“TH ialah satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi keselesaan dan kebajikan jemaah Haji Malaysia” katanya.
Sementara itu Izham berkata, AMAL kekal komited menyediakan perkhidmatan penerbangan selamat dan lancar bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.
“Sebanyak 50 peratus Jemaah Haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh AMAL secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah” katanya.
“AMAL akan menggunakan pesawat A330-300 dengan kapasiti 284 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan yang selesa dan terbaik diberikan pada jemaah.
“Ini termasuk perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, laungan azan dan tazkirah, serta pengumuman miqat bagi memastikan pengalaman ziarah yang menyeluruh sebaik sahaja penumpang memasuki pesawat” tambah beliau.
Seramai 14,306 jemmah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas melalui penerbangan pertamanya pada 4 Jun. – Malaysiapost

