SEORANG graduan Universiti Sains Malaysia (USM) terpaksa berhempas pulas sehingga sanggup membonceng motosikal individu tidak dikenali bagi memastikannya tidak terlepas hari bersejarah dalam hidupnya.
Kevin a/l Rayappan, 28, menarik nafas lega kerana dapat hadir majlis konvokesyennya walaupun sebelum itu terperangkap dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang, hari ini.
Kevin berkongsi pengalaman menghadapi detik kekalutan itu di Facebook rasmi USM, hari ini.
“Saya memang panik sebab jam sudah menunjukkan jam 9 pagi, namun saya bersama ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.
“Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” katanya.
Dalam hantaran itu, USM turut berkongsi beberapa gambar graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan itu ketika dia memegang jubah konvokesyendi atas jambatan, sambil cuba nasib menahan penunggang motosikal yang menghala masuk ke pulau.
Mengimbas detik cemas itu, Kevin berkata, dia bersama ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pada jam 6.30 pagi namun tidak menyangka kesesakan teruk ekoran kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang.
“Mula-mula saya harap kesesakan tidak berpanjangan tetapi setelah melepasi jam 9 pagi, kenderaan masih tidak bergerak, saya nekad turun dan mencari alternatif kerana impian saya cuma ingin naik ke pentas terima skrol hari ini,” katanya.
Kelvin mengakui terhutang budi kepada penunggang motosikal yang memboncengkannya sehingga ke USM sekali gus dapat meraikan kejayaan graduasinya bersama rakan-rakan.
“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya ambil kesempatan ini ucapkan terima kasih kepada beliau.
“Tanpa bantuan beliau, saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas hari ini,” katanya.
Menurutnya, ibu bapanya, Rayappan, 62, dan Mary, 48 yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikan beliau menerima ijazah.
Sementara itu, pengurusan universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM memahami kesulitan dialami graduan pada sidang kelima hari ini dan menangguhkan upacara selama 30 minit.
Upacara Konvokesyen yang sepatutnya bermula jam 10 pagi ditangguhkan sehingga ke 10.30 pagi bagi memberi laluan kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan akibat dari kemalangan itu. – Malaysiapost

