Pindah RM17 juta dana Yayasan Akalbudi bukan pecah amanah – Zahid

0
1
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi bicara hujah akhir kes rasuah Yayasan Akalbudi.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tiada pilihan apabila memindahkan dana RM17,953,185.21 milik Yayasan Akalbudi diasaskannya ke akaun firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata ia dibuat kerana setiausaha eksekutif ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang diamanahkan menjaga urusan akaun peribadinya dan yayasan berkenaan didapati kerap melakukan kesilapan dan cuai.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melakukan pecah amanah dengan membuat pemindahan wang tersebut, lapor Berita Harian.

“Apakah pilihan yang saya ada melainkan mencari jalan supaya wang yang ada dalam simpanan semasa di bank iaitu keseluruhan dana Akalbudi dipindah ke sebuah firma guaman di mana terdapat akauntan dan pegawai akaun serta penyimpan kira-kira bertauliah menjaga akaun pelanggan.

“Maka saya buat keputusan pemindahan itu dilakukan bukan untuk pecah amanah tetapi menggunakan sebuah syarikat guaman yang mempunyai pegawai berketerampilan untuk menjaga akaun pelanggan sebagai pemegang amanah wang Yayasan Akalbudi,” katanya.

Presiden Umno itu menjawab soalan peguam belanya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada sesi pemeriksaan utama ketika membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan berpuluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid berkata dana tersebut tetap milik yayasan walau selepas dipindah kepada firma guaman.

Sebelum itu Ahmad Zahid memberitahu Mazlina melakukan banyak kesilapan ketika menguruskan cek, selain tidak menghantar penyata bulanan dan dokumen lain apabila diminta.

Katanya, beliau banyak kali memberi nasihat dan panduan kepada Mazlina selepas mendapati pegawainya itu tidak mempunyai latar belakang perakaunan, namun Mazlina yang juga saksi ke-90 pendakwaan hanya meminta maaf tetapi tetap mengulangi kesalahan sama.

Disoal mengapa beliau memilih Tetuan Lewis & Co, Ahmad Zahid menjawab beliau mengenali peguam dalam firma guaman itu selepas diperkenalkan rakannya dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here