MB Johor puji JIM, segera selesai rungutan pelanggan

0
1

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penambahbaikan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri itu melancarkan urusan orang ramai di jabatan berkenaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas tindakan segera JIM mengatasi rungutan orang ramai untuk berurusan dengan jabatan itu termasuk dalam isu mendapatkan nombor giliran.

“Syukur Alhamdulillah. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada JIM Johor yang prihatin dengan rungutan para pelanggan yang berurusan.

“Sejak awal pagi tadi, khemah menunggu yang lengkap dengan kerusi telah disediakan di Pejabat JIM Johor, Setia Tropika dengan sedikit bantuan peruntukan kerajaan negeri Johor,” katanya menerusi Facebook.

Onn Hafiz berkata, JIM juga bertindak memperbaiki sistem nombor giliran untuk mengenalpasti kapasiti dan kategori permohonan, sekali gus mempercepatkan urusan selanjutnya. 

“Purata 600 – 700 permohonan berkaitan pasport diuruskan pejabat itu setiap hari.

“Kemudahan yang sama sedang dan akan disediakan di Pejabat Pengeluar Pasport (PPP) di semua daerah, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian tempat.

“InsyaAllah kita akan terus berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan pejabat-pejabat kerajaan demi keselesaan rakyat yang berkunjung,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan, waktu operasi bagi semua kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di seluruh negeri itu akan dilanjutkan sehingga jam 10 malam setiap hari berkuat kuasa serta-merta bermula semalam.

Onn Hafiz berkata, usaha itu merupakan langkah awal diambil bagi menyelesaikan isu kesesakan orang ramai yang perlu beratur panjang untuk urusan mereka di jabatan tersebut.

Sebelum ini, Onn Hafiz menerusi hantaran di Facebook mengakui mengambil maklum perkembangan semasa yang dihadapi rakyat Johor untuk memohon atau memperbaharui pasport.

Katanya, rata-rata rakyat Johor gelisah kerana terpaksa beratur panjang sehingga beberapa jam dengan ada yang terpaksa berbaris sejak awal pagi semata-mata untuk mendapatkan giliran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here