Jihad perangi kartel ayam perlu dilaksana segera – Pemuda Umno

0
1

PEMUDA Umno menyambut baik tindakan tegas kerajaan untuk segera menangani isu peningkatan harga dan bekalan ayam yang benar-benar menghimpit dan meresahkan rakyat ketika ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya mengalu-alukan tindakan tegas dan pengisytiharan ‘perang’ terhadap kartel dalam kalangan syarikat tertentu yang menghentikan bekalan ayam, sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Sehubungan itu, Asyraf berkata, Pemuda Umno juga mencadangkan beberapa pendekatan tambahan bagi memastikan bekalan ayam benar-benar cukup dan memenuhi kehendak rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia termasuk memberi bantuan khas segera bagi menghidupkan penternak-penternak tempatan yang terpaksa gulung tikar akibat tekanan kartel.

“Selain itu, menyegerakan pengimportan ayam daripada negara jiran seperti Thailand, selain pemansuhan AP, dicadangkan satu agensi khas seperti NAFAS diwujudkan segera. 

“Ini bagi memastikan keupayaan pihak pengimport dari pelbagai segi termasuk kuantiti dan dana terjamin agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak pembekal di Thailand hingga akhirnya terpaksa kembali bergantung kepada syarikat-syarikat kartel yang besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, jelas Asyraf, selain pelan jangka pendek bagi memenuhi keperluan semasa rakyat, pelan jangka panjang dengan perincian dasar, hala tuju dan mekasnisme perlaksanaan yang jelas mesti dilakukan segera.

“Sebagai contoh, dasar penanaman jagung bagi tujuan memenuhi bekalan dedak mestilah jelas termasuk dari segi pengawalan harga, pemberian subsidi dan pembangunan bersepadu yang komprehensif.

“Ia bagi memastikan harga jagung yang dibekalkan kelak adalah kompetitif berbanding import dari Brazil dan Argentina yang ternyata punya kelebihan dari segi skala ekonomi (economic of scale),” katanya.

Selain itu, katanya, Pemuda Umno juga mencadangkan agar diwujudkan sebuah Lembaga Pembangunan Unggas Negara (LPUN) agar satu dasar yang komprehensif dan tindakan bersepadu yang melibatkan beberapa Kementerian dapat dilaksanakan.

“Ia sekali gus memastikan seluruh rantaian bekalan ayam dari aspek penternakan hinggalah ke peringkat penjualan dan pengeksportan terpelihara dari segi harga, kualiti dan bekalan semasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here