MASALAH bekalan kuasa elektrik di dua ‘Traction Power Sub Station’ (TPSS) di Stesen Taman Jaya dan Stesen Universiti menjadi punca perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya tergendala pagi tadi.
Menurut kenyataan Rapid Rail, siasatan awal menunjukkan berlaku insiden pemutus litar ‘circuit breaker’ terputus, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan tren kehilangan kuasa untuk bergerak.
“Bekalan kuasa terputus pada jam 8.36 pagi, sekali gus menyebabkan perkhidmatan tren mengarah ke Putra Heights di Stesen Taman Jaya terhenti sementara.
“Bekalan kuasa dapat dikembalikan pada jam 8.48 pagi,” menurut kenyataan itu.
Justeru, Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pelanggan khususnya mereka yang dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Pihak kami akan terus meningkatkan lagi kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan aset untuk memastikan perkhidmatan sebaik mungkin untuk pelanggan,” katanya.
Ahad lalu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menyiasat insiden perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya tergendala, Jumaat lalu.
Menurutnya, jawatankuasa itu melibatkan perunding siasatan luar bagi mengenal pasti punca kejadian.
Dalam kejadian pada 10 dan 20 Mei 2022, pihak Pusat Kawalan Operasi (OCC) telah mengesan masalah teknikal sebelum brek keselamatan tren tersebut diguna pakai lalu mengosongkan tren tersebut.
Tambah Ka Siong, dua insiden dalam tempoh 11 hari itu melibatkan kebocoran bendalir hidraulik serta kerosakan angkut brek lebih awal daripada jangka hayat sepatutnya. – Malaysiapost

