PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan dari Universiti Nihon, yang juga antara universiti swasta terkemuka dan tertua di Jepun.
Anugerah itu adalah sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan Ismail Sabri dalam memerangi pandemik Covid-19.
Ismail Sabri menerima anugerah berkenaan daripada Presiden Universiti Nihon, Dr Naoto Kato di universiti berkenaan di bandar raya Itabashi, satu daripada pusat bandar yang terletak dalam metropolis Tokyo, ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari.
Sementara itu, dalam ucapannya Ismail Sabri berkata, anugerah ijazah kehormat doktor perubatan yang diterimanya hari ini, bukanlah mengiktiraf kejayaan dirinya semata-mata sebaliknya milik Keluarga Malaysia yang bersatu hati bersama-sama kerajaan menghadapi pandemik Covid-19.
“Saya sangat berbesar hati untuk menerima ijazah ini di hadapan tetamu-tetamu kehormat, ahli-ahli Fakulti serta kakitangan Universiti Nihon.
“Sesungguhnya anugerah ini merupakan satu pengiktirafan besar bukan hanya untuk saya tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang telah membuktikan keupayaannya untuk menangani pandemik Covid-19 dengan cara sendiri,” ucapnya di majlis penerimaan anugerah berkenaan.

Mengimbas kembali detik awal kemunculan Covid-19, Ismail Sabri menjelaskan, peperangan menentang Covid-19 merupakan sesuatu yang besar dan mencabar.
Katanya, segala faktor yang boleh menjadi punca kepada penularan wabak ini dikenal pasti dan ditangani sebaiknya oleh kerajaan dan Keluarga Malaysia.
“Pada Mac 2020, saya telah diamanahkan sebagai Menteri Kanan Pertahanan Kluster Keselamatan yang bertanggungjawab menerajui serta mempengerusikan mesyuarat khas Menteri-menteri dalam memerangi ancaman Pandemik Covid-19.
“Bermula detik itu, seluruh kekuatan dan aset digembleng secara bersama. Agensi-agensi Kerajaan termasuk pasukan kesihatan dan keselamatan selaku barisan hadapan digerakkan secara bersepadu dalam usaha menangani wabak ini.
“Ini memaksa kerajaan terpaksa bertindak tegas pada peringkat awal dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk urusan penting sahaja,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, kejayaan Malaysia melangkah ke fasa peralihan endemik adalah hasil strategi kesihatan yang berkesan dan pelaksanaan kawalan pergerakan serta sokongan penuh daripada rakyat.
“Bagi mendorong Keluarga Malaysia agar terus mengamalkan norma baharu bagi memutuskan rantaian Covid-19, saya telah melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu pada 8 Ogos 2020.
“Kita berperang dengan musuh yang tidak kelihatan namun berada di sekeliling kita. Akhirnya kita berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah kita sudah hampir berjaya. Malaysia sudah membuka pintu sempadan mulai 1 April dan mulai 1 Mei 2022.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) sudah mula dilonggarkan seperti pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di kawasan tertutup dan tiada lagi penjarakan fizikal sekali gus membolehkan semua sektor ekonomi dibuka sepenuhnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak bahawa ancaman pandemik Covid-19 belum berakhir.
“Saya menyeru kepada semua supaya sentiasa berganding bahu kerana ancaman pandemik masih belum berakhir.
“Bukan itu sahaja kita juga berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu seperti perubahan iklim yang memberikan ancaman bencana alam yang dahsyat seperti kemarau dan banjir besar,” katanya. – Malaysiapost

