Haniff Khatri gagal tuntut yuran guaman RM12.5 juta dari Bersatu

0
1

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan saman peguam Haniff Khatri Abdulla terhadap Bersatu bagi menuntut yuran guaman yang tidak dibayar berjumlah RM12.5 juta.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menerusi hantaran di Facebooknya, sebentar tadi.

“Pagi ini saya mendapat berita baik. Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Akhtar Tahir menolak permohonan peguam Haniff Khatri untuk satu ‘summary judgement’ mengarahkan Bersatu membayar beliau sebanyak RM12.5 juta.

“Tetapi sebaliknya mengarahkan Haniff pula membayar kos kepada Bersatu,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Wan Saiful berkata, Haniff Kathri tidak pernah dilantik sebagai peguam parti dan tuntutan bayaran yang begitu tinggi sebanyak RM12.5 juta adalah tidak munasabah.

“Keputusan mahkamah pagi ini menyebelahi Bersatu,” katanya.

Pada 22 Julai tahun lalu, media melaporkan, Haniff Khatri memfailkan saman terhadap Bersatu bagi menuntut yuran guaman yang tidak dibayar berjumlah RM12.5 juta.

Tuntutan tersebut juga dibuat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Saleh Bajuri, yang juga memegang jawatan sebagai bendahari.

Hanif mengemukakan writ pada 17 Julai 2021.

Dalam tuntutannya, beliau berkata, wang yang dituntut adalah untuk khidmat guaman sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here