PENGEMBARA yang mempunyai gejala ‘monkeypox’ diingatkan untuk mengikuti dua langkah yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan jangkitan penyakit itu.
Menurut hantaran di Facebook KKM, dua langkah tersebut adalah tindakan segera pengasingan diri serta melakukan pengesanan dan kuarantin kontak.
Menurut KKM, tindakan itu diambil selepas menerima berita penularan wabak ‘monkeypox’ di tiga benua.
“Iaitu Benua Eropah iaitu United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Belgium, Peranchis, Itali dan Jerman, manakala Benua Amerika; Amerika Syarikat dan Kanada dan Australia,” katanya.
Selain itu, KKM turut berkongsikan maklumat tanda-tanda jangkitan ‘monkeypox’, iaitu seperti cacar (smallpox) iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular.
“Justeru, bagi pengembara yang baru tiba dan mengalami gejala jangkitan monkeypox, mereka dinasihatkan untuk mengikuti langkah yang dikongsikan itu,” katanya. – Malaysiapost

