TIADA ada satu sen pun sumber dana Yayasan Akalbudi berjumlah puluhan juta ringgit datangnya daripada wang kerajaan atau pembayar cukai, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Memetik laporan Berita Harian, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata sumber dana yayasan itu datangnya daripada lebihan pendapatan ketika beliau terlibat dalam sektor korporat sebelum menjadi anggota pentadbiran.
Ahmad Zahid berkata beliau pernah mengetuai empat syarikat yang disenaraikan di Bursa dan memegang jawatan Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum menjadi timbalan menteri, menteri serta Timbalan Perdana Menteri.
Katanya lagi, pendapatan dan elaun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengerusi Eksekutif dan Pengerusi dalam syarikat terbabit melebihi perbelanjaan dan keperluan keluarganya.
“Maka saya berazam atas nasihat bapa saya yang juga mudir (pengetua sekolah agama) untuk menyalur lebihan pendapatan saya itu kepada orang memerlukan melalui amal jariah, sedekah, infak, wakaf bagi tujuan keagamaan dalam yayasan yang saya wujudkan sejak tahun 1970-an lagi.
“Saya juga memperoleh dividen daripada syarikat itu untuk dimasukkan dalam tabung yayasan dan menjalankan urus niaga pasaran saham sama ada dalam saham mewah (blue chip) atau saham disenaraikan dan saham tawaran permulaan awam (IPO) bagi memperoleh pendapatan.
“Di samping itu, memang terdapat beberapa sumbangan rakan dan ahli perniagaan yang tiada kena mengena dengan portfolio yang saya pegang. Tidak ada langsung satu sen pun yang datang dari sumbangan kerajaan atau dari wang rakyat,” katanya.
Presiden Umno itu menjawab soalan peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Pada 24 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya. – Malaysiapost

