Cadangan saya selamatkan Sapura tidak guna satu sen duit rakyat – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak membidas pembangkang susulan dakwaan kononnya kerajaan akan berbelanja berbilion ringgit untuk menyelamatkan Sapura Synergy Bhd daripada bankrap.

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Perdana Menteri itu menjawab kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago sambil sekali lagi memperincikan bagaimana Sapura boleh dibantu keluar daripada masalah kewangan tanpa menggunakan wang rakyat.

“Inilah cara pemimpin DAP tipu dan hasut rakyat. Kali ini ahli parlimen DAP Klang, Charles Santiago. Dia kata kerajaan “mungkin” berbelanja berbilion-bilion untuk bantu Sapura. Mungkin, ya?

“Tapi cara penyelesaian dicadang saya tak guna satu sen wang rakyat pun.

“Cuma mahu kerajaan beri jaminan hutang supaya Sapura boleh memulihkan modal kerja untuk mereka menyiapkan kontrak dalam tangan bernilai RM8b (naik dari RM7b bulan lepas) serta Petronas lebih adil bagi kadar dan tempoh bayaran kontrak,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memberi cadangan alternatif sekiranya kerajaan enggan menjadi penjamin kepada Sapura.

“Atau pun Petronas mengambil alih secara sementara untuk pulihkan sebab Petronas memang perlukan perkhidmatan Sapura ketika CalexPetronas sudah naik ke paras tertinggi ketika ini.

“Ini mampu memulihkan keyakinan terhadap syarikat itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Najib berkata keyakinannya bertambah bahawa Sapura berpotensi pulih daripada masalah kewangan apabila pasaran dunia bagi menyewa pelantar penggerudian telah mula pulih.

Beliau turut menyertakan pautan bagi menjelaskan perkara berkenaan.

“Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa Sapura Energy sebenarnya adalah pemilik bilangan pelantar penggerudian tender terbesar dalam dunia.

“Dengan ini, saya semakin yakin kerajaan atau Petronas dapat mengaut keuntungan amat besar sekiranya Sapura berjaya dipulihkan dengan sedikit bantuan.

“Sebab Sapura mampu melangsaikan hutangnya sendiri tanpa suntikan dana kerajaan jika diberi peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya keadaan pasaran perkhidmatan minyak dan gas dunia yang sudah memulih,” katanya.

Sementara itu, Najib juga menyelar tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang masih tegar memutar belitkan cerita perihal Ketua Pegawai Operasi Eksekutif (CEO) Sapura yang gajinya dibayar RM200,000 sehari.

“Satu lagi hasutan yang masih diulangkan oleh pemimpin-pemimpin PAN dan DAP ialah kenapa kerajaan perlu bantu sebuah syarikat yang gaji CEO ialah sebanyak RM200k sehari.

“Soalan ini patut ditujukan kepada mereka sendiri sebab yang bantu CEO bergaji tinggi itu dengan bail-out RM2.9 bilion adalah kerajaan PH pada tahun 2019 semasa syarikat itu masih syarikat swasta.

“Selepas itu, CEO itu sudah bersara dan berhenti. Gaji CEO tak tinggi lagi. Syarikat Sapura pula syarikat GLC milik Rakyat melalui PINB,” katanya.

Justeru, Najib menegaskan, Sapura yang mahu diselamatkan ini adalah milik rakyat dan bukan lagi dimiliki oleh CEO berkenaan.

“Jadi, jika kita selamatkannya sekarang ianya bukan lagi selamatkan CEO tersebut sebagaimana kerajaan PH buat masa itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here