‘Saya sedia ke penjara, adakah Najib bersedia?’ – Kit Siang

0
1

PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang memaklumkan bersedia menjalani hukuman penjara susulan kenyataan kontroversinya memberi amaran supaya Malaysia tidak menjadi seperti di Sri Lanka, baru-baru ini.

Ia susulan beliau mengeluarkan kenyataan ‘mungkin rumah Perdana Menteri dan menteri-menteri lain di seluruh negara dibakar oleh penunjuk perasaan’ menyifatkan tragedi yang berlaku di Sri Lanka.

Bagaimanapun, beliau mempersoal sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersedia melakukan tindakan sama selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah berhubung kegiatan jenayah dilakukannya.

“Saya tidak dan tiada niat menghasut sesiapa, mana-mana kelas atau komuniti. Saya juga tidak mencipta atau memulakan apa-apa transmisi yang ‘lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Tetapi saya bersedia untuk dipenjarakan kerana memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak menjadi satu lagi Sri Lanka.

“Tetapi adakah Najib, bersedia ke penjara kerana mencemarkan nama negara di seluruh dunia sebagai kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri iu sebelum ini membuat kenyataan di blognya bertajuk ‘Bolehkah Malaysia mendapatkan pengajaran dari Sri Lanka?’ dan membangkitkan persoalan berbunyi: “Adakah mungkin rumah perdana menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?”

Sehubungan dengan kenyataan itu, Najib menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Kit Siang atas tuduhan menghasut.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Abd Jalil Hassan mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Kit Siang selaras Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Protes terhadap Kerajaan Sri Lanka pula tercetus pada minggu lalu selepas negara itu ditimpa krisis ekonomi mengakibatkan kadar inflasi meningkat, kekurangan ubat-ubatan, bahan bakar serta barang keperluan lain.

Penunjuk perasaan membakar rumah keluarga milik bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dan Presiden, Gotabaya Rajapaksa di Medamulana, Hambantota serta kediaman dan premis perniagaan milik beberapa ahli politik dari parti pemerintah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here