Kaitkan kod pakaian orang awam dengan golongan miskin, etnik tertentu tindakan dangkal

0
1
zahid hamidi

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan rasa kesal dengan tindakan pemimpin pembangkang mengkritik etika berpakaian untuk orang awam yang berurusan di premis jabatan dan agensi kerajaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, berkata perkara seperti itu tidak sepatutnya dipersoalkan seolah-olah menjadi perihal yang amat membebankan rakyat.

“Cuba menimbulkan persepsi berkaitan etika berpakaian semasa berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan dengan isu kaum sangat melampau.

“Rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama sejak dulu memahami konsep kesopanan dan kesusilaan yang merupakan sebahagian daripada Rukun Negara.

“Semua mengerti pakaian yang sopan dan susila tidaklah bererti pakaian yang berharga mahal atau cantik belaka,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham sebelum ini membantah tindakan beberapa agensi perkhidmatan kerajaan yang dikatakan cuba menetapkan kod pakaian kepada orang awam yang mahu datang menyelesaikan urusan.

Ia susulan beberapa aduan disampaikan orang awam mendakwa perkhidmatan kerajaan kini hanya akan melayan urusan orang awam yang mengikuti kod pakaian ditetapkan pejabat.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, tindakan mengaitkan etika berpakaian sebagai membebankan golongan miskin atau etnik tertentu adalah dangkal dan berlebihan

Katanya, beliau berharap para penjawat awam tidak terkesan langsung dengan pandangan Ahli Parlimen pembangkang tersebut.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat berbudi pekerti selari dengan nilai tinggi kesopanan budayanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here