PROJEK Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Pertama membabitkan 12 stesen dijadualkan akan mula beroperasi Jun ini.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang MRT Corporation, Fasa Pertama dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Kampung Batu akan mula beroperasi pada setengah tahun pertama tahun ini.
Sementara laluan dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Putrajaya Sentral akan mula beroperasi di bawah Fasa Kedua pada Januari 2023.
Difahamkan laluan Fasa Pertama itu akan mula beroperasi pada 3 petang 16 Jun ini.
Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) merupakan laluan kedua yang dibangunkan bagi Projek Aliran Massa t Lembah Klang (KVMRT).
Menurut MRT Corporation, laluan itu akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di koridor yang mempunyai lebih kurang dua juta penduduk bermula dari Kwasa Damansara, sebuah pembangunan bandar baharu di barat laut Kuala Lumpur
dan kawasan pinggiran bandar selatan ke Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Malaysia.
“Jajaran yang panjangnya 56.2 kilometer (km) terdiri daripada landasan bertingkat sepanjang 42.7km dan landasan yang melalui terowong bawah tanah sepanjang 13.5km.
“Laluan ini mempunyai 36 stesen beroperasi yang terdiri daripada 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah. Terdapat empat lagi stesen yang dirancang untuk masa depan,” katanya.
BACA LAGI: LRT rosak waktu puncak, punca stesen sesak
MRT Corporation berkata, laluan itu juga mempunyai 10 stesen pertukaran dan sambungan untuk memudahkan penumpang yang perlu bertukar dari Laluan Putrajaya ke laluan rel yang sedia ada dan akan datang, termasuklah Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
“Apabila Laluan Putrajaya beroperasi sepenuhnya, ia dijangka akan mencatat permulaan penumpang harian yang melebihi 104,000 penumpang semasa pembukaan laluan.
“Ini akan terus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur,” katanya. – Malaysiapost

