REMAJA menghidap kanser Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) tahap akhir, Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15 meninggal dunia, pada jam 12.30 malam tadi.
Berita duka itu dimaklumkan Presiden Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) Maznah Tayib menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, Allahyarham Irfan Mikail menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis.
“Telah pulang seorang wira kanser kepada Maha Pencipta sebentar tadi, Muhamad Irfan Mikael Mohd Syukri yang menghembuskan nafas terakhir tepat jam 12.30 malam di kediaman keluarganya di Guar Syed Alwi kangar Perlis.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan syuhada,” katanya.
Pada 19 Mei lalu, media melaporkan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunaikan impian remaja berusia 15 tahun, Muhammad Irfan Mikail yang menanam cita-cita menjadi juruterbang pesawat pejuang TUDM.
Impiannya itu dizahirkan (FOCCAN) yang menyampaikan hasrat ibu bapanya untuk memenuhi impian anak keempat mereka.
Atas dasar keprihatinan dan empati, TUDM melalui No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth dan bantuan Kolej Tentera Udara telah mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi membantu menyampaikan hasrat dan impian seorang ‘pejuang muda’ yang berjuang melawan sakit kanser.
Muhammad Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Mazatul Rohana Saleh serta Mohd Shukri Talib dibawa dari kediaman mereka yang tinggal di Lorong Haji Talib, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar ke Pangkalan Udara Butterworth. – Malaysiapost

