PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan (LRT) tergendala selepas perkhidmatan pengangkutan awam itu mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan perjalanan ribuan penumpang yang menggunakan laluan tersebut mengalami kelewatan.
Difahamkan, gangguan itu berlaku pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai mahu pulang ke rumah selepas tamat kerja bermula 5 petang.
Menurut perkongsian netizen di media sosial, menyaksikan stesen LRT yang sesak dengan penumpang yang terkandas dan gagal meneruskan perjalanan, selain ada tren dilihat tidak bergerak.
Menurut ciapan di Twitter @AskRapidKL, terdapat kegagalan satu tren di stesen LRT KL Sentral dan pihak pengurusan fasiliti itu sedang berusaha membawa penumpang pulang semula ke destinasi.
“Tren shuttle sudah beraksi di laluan antara stesen LRT Bangsar ke stesen LRT Pasar Seni. Tren dari stesen Putra Height akan kembali semula ke stesen LRT Bangsar dan begitu juga tren dari stesen Gombak ke Pasar Seni.
“Kita sedang berusaha menyelesaikan masalah itu dan dijangka akan diselesaikan beberapa minit lagi. Terima kasih atas kesabaran dan kami memohon maaf atas masalah yang timbul,”ciapnya.
Rapid KL turut menasihati orang ramai untuk mencari pengangkutan alternatif lain, namun menekankan pihaknya menyediakan bus shuttle percuma kepada mereka yang mahu menggunakannya.
Mereka yang mahu menggunakan perkhidmatan bas percuma boleh mendapatkannya bagi laluan LRT Bangsar-LRT KL Sentral-LRT Pasar Seni selain LRT Pasar Seni-KL Sentral. – Malaysiapost

