Gempar penduduk jumpa harimau di Kemensah Height, polis tingkat rondaan

0
1

POLIS meningkatkan rondaan sekitar Kemensah Heights, Hulu Klang, Selangor susulan mesej yang tular mendakwa terdapat seekor harimau berlegar di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya mengesan mesej itu di aplikasi WhatsApp hari ini dan anggota dikerah melakukan siasatan.

Katanya, dalam soal siasat awal, penduduk setempat dimaklum pengawal keselamatan yang mendakwa terserempak harimau berdekatan tiang lampu di Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Height.

“Kita menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor untuk usaha mengesan haiwan liar itu dan kira-kira 4 petang, pasukan berkenaan hadir di lokasi.

“Bagaimanapun tiada maklumat lengkap diperoleh dan pasukan Perhilitan masih berada di lokasi untuk mengesan harimau (jika benar),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis dan tiada saksi tampil untuk memberi keterangan.

Katanya, pengawal keselamatan yang didakwa melihat haiwan liar itu juga adalah warga asing yang didakwa bertugas sementara di kejiranan itu.

“Zoo Negara juga mengesahkan tiada kes harimau terlepas dari zoo berkenaan. Polis menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat agar tampil membantu pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita belum disahkan. – Malaysiapost

Kredit foto: Utusan tv

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here