EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyelar kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa semakin melampau dan biadap apabila menggunakan sentimen agama secara sinis dalam sukan bola sepak.
Beliau berkata, kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu, secara tidak langsung merendahkan kedudukannya sebagai seorang Menteri Besar.
“Kenyataan terbaharu seorang pemimpin dari Kedah ini dilihat semakin melampau dan biadap apabila menggunakan sentimen agama secara sinis, secara tidak langsung merendahkan kedudukannya sebagai seorang Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hairi berkata, selaku EXCO sukan negeri beliau amat kesal dan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Besar Kedah berkenaan.
“Saya melihat sukan dan bola sepak sebagai satu elemen penyatuan, tetapi dengan kenyataan dangkal Menteri Besar Kedah, inilah punca yang memecah belahkan kesatuan dan penyatuan rakyat.
“Bola Sepak tidak memerlukan pemimpin seperti ini, yang hanya pandai mengeruhkan keadaan dan melaga-lagakan antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, sepatutnya pemimpin yang baik menggunakan bola sepak sebagai elemen menyatu padukan semua bangsa tidak kira agama dan warna kulit.
Katanya, sebagai seorang pemimpin dari sebuah parti Islam, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Muhammad Sanusi.
“Bahkan populariti murahan seperti ini satu perkara yang menjengkelkan apabila keluar daripada mulut seorang Menteri Besar.
“Kenapa gunakan perkataan tokong? Teruk sangat atau buruk sangat ke tokong itu sehingga perlu dinaratifkan seperti itu?
“Kita sebagai sebuah negara yng berbilang bangsa dan agama tidak sepatutnya menggunakan sentimen seperti ini. Sekarang dah tahun 2022,” katanya.
Beliau turut menasihati Muhammad Sanusi supaya menjadi Menteri Besar yang memberi fokus terhadap usaha membantu rakyat dan negeri, bukannya mengejar populariti murahan dan sibuk mengulas hal negeri lain.
“Fokuslah bantu rakyat dan negeri sendiri, itu lebih baik. Saya nak tanya, berapa KDNK Kedah setakat ni? Negeri lain pun ada Menteri Besar, tapi tidaklah macam ini, sungguh memalukan,” katanya.
Baru-baru ini, Muhammad Sanusi mengingatkan semua pihak agar tidak mewujudkan ‘tokong’ dalam kancah bola sepak tanah air.
Beliau berkata, sukan bola sepak di negara ini bukan milik mana-mana individu tertentu sebaliknya dimainkan untuk semua golongan. – Malaysiapost

