AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim meluangkan masa hari ini menziarahi seorang ibu yang terbabit dalam kemalangan tragik sehingga mengorbankan nyawa anak bongusnya, semalam.
Nasib wanita yang dikenali sebagai Norezah itu umpama jatuh ditimpa tangga, kerana suaminya baru meninggal dunia tahun lalu akibat Covid-19.
“Hari ini saya menziarahi Kak Norezah yang mengalami kemalangan jalan raya semalam yang telah mengorbankan nyawa anak bongsunya Nur Airis.
“Adik Nur Airis hanya berumur 10 tahun. Ayahnya baru meninggal dunia tahun lalu akibat Covid-19.
“Sedihnya hati saya.Saya hulurkan khairat kematian namun tiada sebarang pemberian dapat menggantikan orang tersayang yang telah terdahulu pergi,” tulisnya di Facebook.
Steven berkata, buat masa ini, pihaknya sudah meninggalkan amanah kepada wakil kaum ibu di kampung itu untuk menjaga keperluan wanita berkenaan buat masa ini.
“Hanya doa kepada Tuhan mampu mengubat kemasyghulan ibu yang kehilangan anak kecilnya.Bertabahlah Kak Norezah,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang murid perempuan Tahun Empat maut digilis, manakala ibunya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa yang juga murid Tahun Empat berusia 10 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, motosikal dinaiki dua beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari sekolahnya yang turut mengadakan sambutan Aidilfitri, semalam. – Malaysiapost

