‘Tak bermaksud sesiapa pun boleh tanam ganja di rumah’

0
2
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KENYATAAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman bahawa ramai pesakit perlu guna kanabis atau ganja untuk tujuan perubatan tidak bermakna sesiapa saja boleh menanamnya sendiri di rumah.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata contoh lain, di hospital juga pesakit diberi morfin untuk tahan sakit, tetapi tidak bermakna pesakit boleh membeli atau membuat morfin sendiri.

Begitu juga katanya, di hospital ada menggunakan radioaktif untuk tujuan perubatan, dan banyak negara guna nuklear untuk jana elektrik, tetapi tidak bermakna boleh melombong atau membeli uranium atau plutonium sendiri.

“Syed Saddiq, cuba fahamkan perkataan proliferasi. Jika semua orang boleh tanam sendiri ganja di rumah, cuba beritahu saya bagaimana kamu mahu kawal yang mana guna untuk perubatan dan yang mana guna untuk rekreasi?

“Dan undang-undang tetap undang-undang. Sebab itu semasa seorang anak taikun ditangkap dan dilepas kerana tuduhan tanam ganja di rumah, saya persoal Peguam Negara macam mana dia boleh lepaskan orang ini?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Syed Saddiq yang juga Pengerusi Kaukus Medical Marijuana berkata kerajaan harus mengiktiraf bahawa banyak pesakit di Malaysia yang perlu menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan.

Presiden MUDA itu berkata mereka bukan kumpulan yang mengedar kanabis untuk mengaut keuntungan wang semata-mata.

Katanya lagi, sudah tiba masanya Malaysia mengikut langkah lebih 40 negara dalam mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan.

BACA LAGI: ‘Terima kasih PM, Kabinet setuju dengan kanabis untuk perubatan’ – Yassin

Mengulas lanjut, Isham berkata pada awal kurun ke-19, China dilanda ketagihan candu mengakibatkan keadaan ekonomi dan sosial negara itu amat teruk kerana rakyatnya ramai jadi penagih candu dan menjadi lemah.

Sejak akhir kurun ke-17, tambahnya, British telah membawa dan menyeludup candu dari India ke China untuk rakyat China menghisap candu dan kerana itu ia telah berjaya mengawal dan menguasai China yang besar.

“Kita perlu belajar dari sejarah. Kita mahu anak muda berkemahiran tinggi dalam teknologi baharu dan menyumbang kepada ekonomi dan masa depan negara.

“Bukan berjinak-jinak dengan ganja. Jika ada yang sakit dan perlu rawatan dengan ganja, pergi ke hospital dan jumpa doktor dan guna saluran yang betul.

“Bukan tanam sendiri di rumah dan hisap sendiri atau jual kepada orang lain. Saya percaya anak muda Malaysia adalah lebih bijak dan bertanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here