Pemansuhan AP makanan tindakan tegas perangi kartel, bukan langkah populis

0
1

KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan pemansuhan permit kelulusan (AP) agromakanan merupakan tindakan tegas kerajaan memerangi kartel.

Shahril juga membidas dakwaan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyelar langkah memansuhkan AP yang diumumkan Perdana Menterim Datuk Seri Ismail Sabri semalam, sebagai langkah populis dan dibuat dengan tergesa-gesa.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Salahuddin yang menggesa satu jawatankuasa ditubuhkan untuk membuat kajian sebelum mengambil langkah terbabit.

“Pertama, sudah ada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) yang membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“NACCOL membincang dan melaporkan maklumat terkini termasuklah berkenaan isu kenaikan harga barang makanan, punca-punca dan langkah-langkah yang boleh diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua, selain faktor global yang menjadi punca terbesar, ternyata antara faktor lokal yang perlu dan boleh ditangani ialah soal kartel yang mengawal pasaran.

“Di sinilah pemansuhan AP sedikit sebanyak diharap membantu mengurus cabaran dalam melonggarkan cengkaman kartel.

“Ia membolehkan sesiapa pun dalam pasaran tempatan – bukan hanya pihak tertentu – mengakses sumber pasaran luar alternatif bagi memastikan negara terhindar dari terputusnya stok bahan mentah makanan,” katanya.

Beliau berkata, Salahuddin seharusnya menyokong usaha itu sekiranya mahu memperjuangkan isu sekuriti makanan dan memastikan harga barang terkawal.

“Bukan melabelnya (mansuhkan AP) sebagai populis atau tergesa-gesa. Jauh sekali untuk menambah satu lagi jawatankuasa mengkaji perkara sama, kerana tidak berani bertindak,” katanya.

Selain itu, Shahril berkata, usaha itu perlu dilaksanakan bagi mengatasi ‘masalah di hadapan mata’ iaitu inflasi makanan.

Justeru, katanya, apa sahaja langkah yang mampu membantu kearah itu, selagi tidak memberi kesan buruk jangka panjang yang lain adalah wajar dilaksanakan.

“Isu kedaulatan makanan merupakan isu teras yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.

“Kerajaan bukan hanya melaksana satu langkah seperti pemansuhan AP, dan Perdana Menteri pun tidak pernah mendakwa bahawa ia dengan sendirinya boleh menyelesaikan semua cabaran yang sedang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu diambil dengan pelbagai lagi dasar dan bantuan dilaksana serta diperbaharui bagi menjamin bekalan makanan, selain membela pengusaha tempatan dalam memastikan keluaran dalam negara dapat dirancakkan.

“Malah, selain pelbagai subsidi dan kawalan harga yang pernah diumumkan sebelum ini, semalam juga, PM mengumumkan bantuan RM200 selama enam bulan untuk pesawah.

“Sekali lagi ditegaskan, isu yang membelenggui seluruh dunia ialah kenaikan harga makanan. Setiap negara akan perlu bertindak dengan kaedah masing-masing untuk meminimakan impak.

“Kearah itu, langkah terbaru Kerajaan wajar dilihat dari kanta positif sebagai tindakan tegas cuba melaksanakan segala langkah yang mampu untuk responsif kepada situasi semasa,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bahan makanan dari luar negara ke Malaysia berkuatkuasa serta-merta.

Perdana Menteri berkata, susulan itu ia kini terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport makanan dari luar negara.

Mengulas isu sama, Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai tergesa-gesa dan mendedahkan pihak tertentu dalam negara dengan risiko kerugian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here