‘Rasuah bukan hanya eksklusif kepada sesuatu parti semata-mata’ – Isham Jalil

0
1

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berharap Akta Pembiayaan Politik yang akan dibentang di Kabinet kelak akan menjadi kenyataan.

Isham berkata, beliau menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung perkara itu. selain menyifatkan akta itu sebagai sesuatu yang sudah lama diperjuangkannya.

“Sudah lama saya bawa dan perjuang perkara ini, dan saya pernah tulis berkenaan hal ini dan masalah politik wang dalam buku saya pada tahun 2018 bertajuk ‘Halatuju Orang Melayu dan Umno pasca 9 Mei 2018’.

“Kini transformasi dalam pembiayaan politik ini semakin dekat menjadi dasar. Saya harap ia akan menjadi kenyataan,” katanya menerusi Facebook.

Isham berkata, sebelum 2018 kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah memawa cadangan Akta Pembiayaan Politik ke Parlimen sebanyak dua kali.

Namun, katanya cadangan itu telah ditolak oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dan PKR.

“Pada tahun lepas, dalam satu forum antarabangsa berkenaan politik dan rasuah, saya pernah tanya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, apa jadi kepada janji mereka untuk buat reform berkenaan pembiayaan politik setelah PH ambilalih kerajaan.

“Dia kata, ia ada dibincang tetapi tidak diteruskan dan perkara itu “fizzled out” atau dilupakan begitu sahaja,” katanya.

Tegas Isham, rasuah bukan hanya eksklusif kepada sesuatu parti semata-mata, ini terbukti apabila pembangkang menjadi kerajaan pada 2018 ramai pemimpin mereka ditangkap dan didakwa kerana rasuah.

“Lim Guan Eng pernah dituduh dan didakwa atas tuduhan rasuah sebelum dilepaskan oleh Peguam Negara.

“Anwar Ibrahim pernah dipenjara selama 6 tahun atas lima pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Baru-baru ini Syed Saddiq juga ditangkap dan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa melibatkan wang berjuta ringgit walaupun dia baru setahun jagung jadi menteri,” katanya.

Justeru, Isham menjelaskan bahawa sudah tiba politik Malaysia perlu ‘dibersihkan’.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) hari ini bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.

“Skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawal seliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here