Harapan skuad Harimau Muda ke final berkecai

0
1

IMPIAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk melangkah ke final Sukan Sea edisi ke-31 musnah selepas tewas 0-1 di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir di Stadium Viet Tri, di Hanoi, malam ini.

Ia menyaksikan skuad negara gagal menamatkan kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi 11 tahun lalu di Sukan Sea 2011 di Jakarta, Indonesia.

Vietnam yang juga pemenang pingat emas edisi 2019, lebih banyak melakukan percubaan ke pintu gol Malaysia, namun benteng skuad negara bertahan dengan baik selain turut dibantu kecemerlangan penjaga gol, Azri Ab Ghani.

Kebuntuan kedua-dua pasukan untuk mencipta jaringan sepanjang 90 minit permainan menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.

Selepas berjaya bertahan lebih 110 minit, kubu pasukan negara akhirnya bocor juga menerusi jaringan Linh Nguyen Tien yang menanduk masuk bola sepakan percuma Dung Do Hung, sekali gus menjadi gol kemenangan buat Vietnam.

Vietnam akan berdepan Thailand di final, manakala Malaysia pula akan menentang Indonesia dalam perebutan pingat gangsa dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium My Dinh, Ahad ini.

Thailand terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke final selepas menewaskan pemenang pingat perak edisi 2019, Indonesia 1-0 hasil jaringan Weerathep Pomphan pada masa tambahan.

Aksi di Stadium Thien Truong itu turut menyaksikan empat layanan kad merah yang mana satu buat Thailand dan tiga membabitkan pemain Indonesia. – Malaysiapost

Kredit foto: Fb FAM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here