Ambiga kesal Najib dijemput ke istana 

0
1

DATUK Ambiga Sreenevasan kesal berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijemput ke sebuah majlis di istana baru-baru ini.  

Tanpa berselindung, bekas Presiden Badan Peguam Malaysia itu berkata, amat dikesali bahawa Yang di-Pertuan Agong menyenaraikan bekas Perdana Menteri itu sebagai tetamu baginda.  

Semasa temu bual dengan Malaysiakini, Ambiga menegaskan: “Jika kamu berani menerbitkannya, saya bersedia untuk menyatakannya.” 

Beliau juga mendakwa episod itu sebagai “tidak menghormati mahkamah”.

“Saya difahamkan pada majlis lain, terdapat hakim yang hadir bersama sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan yang memalukan. 

“Lagipun, mereka itu adalah para hakim Seri Paduka,” katanya dipetik Malaysiakini.  

Bagaimanapun Ambiga mendakwa Najib mungkin berjaya membatalkan sabitan kesalahannya semasa Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan rayuannya.  

“Tetapi sebelum itu, kamu perlu menghormati mahkamah dan prosesnya,” katanya. 

Sementara itu, Ambiga, yang juga bekas pengerusi gerakan reformasi pilihan raya Bersih, berkata rakyat sedang memerhatikan apa yang sedang berlaku. 

“Kita tidak seharusnya memandang rendah pandangan rakyat. Mereka memandang rendah perasaan rakyat pada pilihan raya umum ke-14. Mereka tidak nampak betapa kecewanya rakyat. 

“Orang ramai mungkin berdiam diri (sebahagian besarnya kerana Akta Hasutan), tetapi kamu tidak tahu apa yang mereka fikirkan. Mereka akan bercakap melalui peti undi. 

“Jika kamu terus menaikkan kemarahan mereka, yang saya fikir mereka (yang berkuasa) sedang lakukan, kamu akan dapat satu lagi keputusan seperti PRU14. Mudah-mudahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here