Bekas Menteri Agama nafi terlibat dalam penubuhan “Chrislam”

0
1

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menafikan terlibat dalam penubuhan “One World Religion”, “Chrislam”, dan “Agama Ibrahimi/Abraham”.

Ia susulan sebaran di WhatsApp dan media sosial sama ada atas nama NGO, laman tertentu atau peribadi yang mengaitkan penglibatan beliau dan Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin, Fadhilatul Imam Al-Akbar Syeikh Dr Ahmad Al-Tayyib.

Ketiga-tiga pertubuhan itu yang dikatakan telah dirasmikan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Menjelaskannya, Zulkifli yang juga Presiden Pejabat Majlis Hukama’ Muslimin – Malaysia berkata majlis itu ditubuhkan pada 2014 hasil resolusi persidangan di UAE yang mempertemukan para ulama’ serata dunia.

Jelasnya, objektifnya adalah mempromosi keamanan, menolak Islamofobia, menyemai budaya toleransi antara agama dan memerangi ekstremisme serta terorisme.

“Apa yang jelas daripada poster dan mesej berantai yang tersebar, pembuatnya seolah-olah ingin menyatakan Syeikhul Azhar, Paus Francis dan Paus Tawadros II telah bersepakat untuk penubuhan “Chrislam” baru-baru ini dalam sebuah majlis di UAE.

“Terdapat beberapa gambar disebar melibatkan Syeikhul Azhar dan Paus Francis selain terdapat sebuah “majlis perasmian pembukaan pusat one world religions” yang turut dihadiri oleh saya.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Syeikhul Azhar dan Paus Francis ada menandatangani Dokumen Perpaduan Insani dan Kehidupan Bersama pada 4 Februari 2019, namun ia sama sekali tidak berkaitan dengan penubuhan “Chrislam” atau usaha penyatuan agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, tiada persidangan atau “majlis perasmian pembukaan pusat one world religions” di UAE baru-baru ini yang mengeluarkan resolusi penubuhan “One World Religion”, “Chrislam”, dan “Agama Ibrahimi/Abraham”.

Katanya, hubungan baik Syeikhul Azhar dan Paus Tawadros II sememangnya sudah diketahui umum sejak sekian lama apabila kedua-duanya saling kunjung mengunjung pada hari perayaan masing-masing.

“Saya tidak pernah ke UAE tahun ini. Kali terakhir saya ke sana pada 30 November dan 1 Disember bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Hukama’ Muslimin.

“Saya tidak menyertai Persidangan Antarabangsa “Islamic Unity: Concept, Opportunities, Challenges” dianjur World Muslim Communities Council dengan kerjasama Kementerian Toleransi, UAE pada 8-9 Mei 2022.

“Namun apa yang saya maklum, ia sama sekali tidak menyentuh “One World Religion”, “Chrislam”, dan “Agama Ibrahimi/Abraham” seperti yang diuar-uarkan oleh khabar angin,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here