Kerja gila lantik orang politik sebagai Duta – Ibrahim Ali

0
1

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengesyorkan kerajaan menghentikan amalan melantik Duta atau Persuruhjaya Tinggi dan Kaunselor dalam kalangan ahli politik.

Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata sebaliknya pelantikan itu wajib dalam kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berkhidmat dengan Wisma Putra berdasarkan sistem perkhidmatan dan protokol diamalkan selama ini.

Beliau juga menggesa kerajaan memansuhkan dasar melantik Duta-Duta Khas dari kalangan ahli politik bertaraf menteri.

“Ini kerja gila! Kerajaan boleh melantik utusan khas atas urusan tertentu mengikut keperluan atas perkara penting secara spesifik.

“Contohnya menjadi wakil Perdana Menteri atau negara Negara bagi merundingkan perkara tertentu dan bukan bergaji serta berjawatan tetap, tanpa pejabat dan kakitangan.

“Tidak perlu pembaziran  wang rakyat kerana banyak lagi diperlukan untuk perkara lebih penting. Hentikanlah kerja pembaziran gila ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, pelantikan calon Duta mestilah yang terbaik untuk kepentingan negara, bukan sebahagian dari habuan politik.

Secara tradisi katanya, pelantikan Duta atau Persuruhjaya Tinggi adalah dalam kalangan PTD dari kakitangan Wisma Putra yang berkhidmat bertahun lamanya.

“Menjadi Duta memerlukan kemahiran diplomasi, penguasaan bahasa antarabangsa dan berpengetahuan dalam bidang geopolitik dan ekonomi global serta perkembangan sains, teknologi dan digital.

“Malangnya di negara kita semua sudah jadi lintang pukang,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here